Aug 24, 2009

Cadangan Berbuka Puasa FERNO


SATU perkara yang cukup menarik perhatian penulis mengenai lokasi menjamu selera kali ini adalah namanya. Intai-intai, kena pada tempatnya. Kata pemiliknya, Baha, "kena intai dulu baru nampak."

Benar, walaupun terletak hanya di tepi Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2), namun bagi sesetengah pengunjung yang tidak biasa dengan tempat ini pasti jenuh juga mencarinya.

Hari ini hari kedua umat Islam menunaikan ibadat berpuasa. Kebetulan di hujung minggu, apa salahnya disambut dengan sesuatu yang lebih istimewa.

Bawa keluarga mahu pun rakan mengunjungi Restoran Intai-intai yang menyediakan hidangan berbuka puasa istimewa untuk pengunjungnya.

"Nuansa Tradisi Ramadan 2009" adalah tema yang dipilih. Menurut Baha, konsep kali ini adalah gabungan gerai makanan Bangkok dan masakan Kelantan kampung.

Lebih 98 jenis hidangan disediakan. Bermula dari pilihan pembuka selera yang memikat, hidangan utama yang mengecurkan begitu juga dengan desert yang menyelerakan.

Antara yang menarik hari ini adalah kambing panggang (hujung minggu sahaja) dengan pelbagai sos pilihan. Pembuka selera pula terdiri daripada lima hingga enam jenis kerabu antaranya kerabu kaki ayam dan kerabu isi ikan keli dengan mangga muda. Selain itu, terdapat ulam-ulaman, keropok, ikan masin dan banyak lagi.

Bagi menu utama, hidangan stail gerai Bangkok menghimpunkan pelbagai hidangan seperti kai phad nam prik prow (ayam pedas sos tomyam), pla muek pad prew wan (sotong masam manis), udang mentega, kari hijau dan banyak lagi.

Masakan Kelantan pula merangkumi nasi kerabu Kubang Kawah, nasi dagang, gulai ikan tongkol, ayam percik, daging bakar dan laksam.

Pilihan pencuci mulut pula pelbagai. Daripada pencuci mulut Thai yang manis seperti tako dan kastard labu hingga pelbagai jenis kuih-muih Melayu, bubur (empat hingga lima jenis), kek dan buah-buahan.

Selain itu, terdapat juga gerai (stesen) istimewa berkonsepkan Bangkok Street, mi/ rojak, bakar-bakar dan goreng-goreng.

Harga yang ditawarkan amat berpatutan. Dengan RM45++, nikmatilah pelbagai makanan kegemaran sepuasnya dalam suasana rumah kampung yang dikelilingi hutan rimba dan juga kolam. Untuk kanak-kanak, hanya RM22++ dikenakan.

Promosi istimewa sehingga Ramadan ke tujuh, diskaun 15 peratus diberikan bagi kunjungan minimum lapan orang.